Membuak-buak semangat para pemimpin parti-parti Perikatan Nasional Sabah (PNS) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-15, namun setakat ini belum menamakan, siapa yang mengetuai perikatan tersebut, dan seterusnya bakal Ketua Menteri.
Dalam semua PRN diadakan, sebelum penamaan calon, rakyat telah mengetahui, pemimpin yang mengetuai pakatan atau gabungan parti-parti yang juga merupakan calon Ketua Menteri.
Datuk Bung Moktar baru-baru ini apabila ditanya, siapa bakal Ketua Menteri, sekiranya PNS menang PRN negeri, beliau secara bergurau menjawab bahawa ramai yang boleh menjadi Ketua Menteri, namun beliau hanya menyebutkan nama-nama pemimpin Umno Sabah, tidak mengambil kira rakan-rakan daripada parti lain yang juga pendokong PNS.
Di Sabah sekarang ini, parti-parti dalam PNS yang dianggap tunjang adalah Umno dan Bersatu, selain PBS.
Umno menghandalkan rekod parti yang telah bertapak di Sabah sejak tahun 1990, demikian juga PBS merupakan parti tertua di antara parti-parti. Manakala Bersatu, hanya bertapak pada April, 2019 dan diterajui oleh mantan-mantan wakil rakyat dan pemimpin Umno.
Sehingga sekarang, Bersatu dianggap sebagai parti para pemimpin dan wakil rakyat, bukan parti akar umbi, walaupun pada Ogos, 2020 mempunyai keahlian seramai 105,385.
Jika ada pihak yang menganggap bahawa Bersatu belum bertapak jika dilihat pada jumlah keahlian, tidak menggambarkan sokongan, kerana terbukti pada PRU-14, parti Warisan yang ditubuhkan sebelum PRU-14, mampu menang 21 kerusi DUN.
Penulis memperkirakan, sebelum penamaan calon, pengagihan kerusi antara parti-parti dalam PNS dapat dimuktamadkan, juga akan dapat menamakan pemimpin yang mengetuai dan calon Ketua Menteri.
Sebagai pengamat politik negeri, jika dianalisa pengalaman dan keupayaan, jika diminta menamakan, pemimpin mana yang perlu mengetuai PNS Sabah, penulis memilih Datuk Hajiji Haji Noor, kerana pengalaman beliau dalam kabinet negeri Sabah, selain mengetuai sebuah kementerian yang sangat dekat dengan rakyat.
Pemilihan Hajiji, untuk memastikan pemerintahan Datuk Shafie Apdal tidak berulang, kerana, ketiadaan pengalaman mengurus negeri.
Untuk menang PRN Sabah, pemilihan Hajiji merupakan keputusan tepat, bagi berhadapan Warisan Plus yang diketuai Shafie.