DAKWAAN, kononnya wakil rakyat yang memilih Perdana Menteri ke-8, salah daripada segi undang-undang, maka dengan sendirinya Kerajaan Sabah yang ditubuhkan pada 12 Mei, 2018 salah daripada segi undang-undang, kemudian nya penubuhan Kerajaan Perak tahun 2009, juga salah, dan beberapa hari yang lalu, Kerajaan yang ditubuhkan di Negeri Johor juga salah.
Jika penubuhan kerajaan yang ditentukan oleh wakil-wakil rakyat adalah salah, mengapa semasa penubuhan Kerajaan Sabah pada 12 Mei, 2018 dikatakan betul, malah mahkamah Tinggi, dan Rayuan menyebelahi Kerajaan tersebut, walaupun dicabar kerana melanggar Perlembagaan Negeri Sabah.
Penubuhan Kerajaan kerana penjajaran atau gabungan baharu tidak menyalahi demokrasi amalan negara kita, kerana mereka yang bergabung itu adalah juga pilihan rakyat di kawasan masing-masing. Semua ahli parlimen atau ADUN adalah pilihan rakyat, meskipun semasa bertanding mengunakan flatform yang berbeza.
Proses pemilihan PM-8 oleh YDP Agong dijalankan dengan penuh telus dan berhemah, kerana telah menerusi beberapa fasa. Fasa pertama, Baginda menemuduga semua ahli parlimen, kemudiannya Baginda berunding dengan Majlis Raja-Raja, fasa berikutnya Baginda memberi peluang kedua semua parti menamakan PM8, selepas Baginda berpuashati, maka perlantikan PM8 ditentukan.
Dalam pertimbangan Baginda jelas, bahawa parti-parti yang diberi peluang menamakan calon PM8, adalah parti-parti yang mempunyai ahli parlimen di Dewan Rakyat.
Penulis tidak melihat pemilihan PM8 oleh wakil-wakil rakyat adalah salah, meskipun tidak mencerminkan keputusan pilihanraya.