Semua pihak perlu menerima dengan hati lapang dan tidak mempersoal ketetapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pelantikan Perdana Menteri kelapan seperti yang diputuskan hari ini.
Kuasa YDP Agong menerusi Perkara 40(2) dalam Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya melaksanakan fungsi melantik seorang Perdana Menteri.
Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa yang amat luas dalam melaksanakan budi bicara khususnya dalam Perkara 43(2) (a) disebut bahawa Yang di-Pertuan Agong melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang “pada hematnya mungkin” mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri;
Perkataan “pada hematnya” dan perkataan “mungkin” menggambarkan betapa luasnya budi bicara baginda dalam melantik Perdana Menteri.
Yang di-Pertuan Agong sudah membuat keputusan yang jelas. Oleh itu, dinasihatkan semua pihak menerima dengan hati yang lapang dan tidak mempersoal ketetapan baginda.
Pada hari ini, Sabtu 29 Februari, 2020 Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, memperkenan pelantikan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sebagai Perdana Menteri kelapan.
Perkara itu diputuskan baginda selepas mendapat representasi daripada semua ketua parti politik yang mewakili parti masing-masing serta Ahli Dewan Rakyat yang bebas.
Istiadat pengurniaan suratcara perlantikan dan mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri akan diadakan di Istana Negara, pada jam 10.30 pagi esok.
Kemelut politik negara tercetus apabila Tun Dr Mahathir Mohamad, bertindak meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari lalu.