PENENTUAN Perdana Menteri di negara ini sudah berubah, sejak berubahnya kerajaan.
Di negara ini sejak merdeka penentuan Perdana Menteri tertakluk kepada mana-mana parti yang mempunyai jumlah kerusi parlimen terbanyak, dan kebetulan, parti itu adalah Umno. Sehingga PRU-13, Perdana Menteri adalah Presiden Umno yang juga Pengerusi Barisan Nasional.
Apabila PH menubuhkan kerajaan, penentuan Perdana Menteri ditentukan oleh pimpinan PH, bukan lagi berasaskan pada parti yang mempunyai kerusi terbanyak.
Pada PRU-14, PH menang 113 kerusi, PKR-48, DAP-41, Bersatu-13 dan Amanah-11, namun Perdana Menteri yang dipilih oleh pimpinan PH adalah pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir yang hanya ada 13 kerusi Parlimen, walaupun dikatakan telah disepakti sebelum PRU selepas Tun, maka PM seterusnya adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada PRU-14, Bersatu diberikan kerusi terbanyak untuk ditandingi, iaitu 52, akan tetapi hanya menang 13.
Secara kombinasi, meskipun Bersatu hanya menang 13, akan tetapi sumbangan parti itu di kawasan-kawasan yang ditandingi 3 parti lain telah menyebabkan kemenangan. Tanpa Bersatu, sukar bagi 3 parti lain menang, kerana telah dibuktikan sehingga PRU-13, menerusi Pakatan Rakyat (PKR-DAP-PAS) hanya menang 89 kerusi parlimen daripada 222 yang dipertandingkan. Tidak dapat dinafikan kerana faktor Tun Mahathir dan parti Bersatu, maka Pakatan Harapan dapat menumbangkan kerajaan Bn.
Jika pada masa ini, ada pihak-pihak yang berkehendakkan agar Tun Dr Mahathir meneruskan sebagai Perdana Menteri sehingga PRU-15, mempunyai kelojikkan. Dan seterusnya, kerajaan yang diberi mandat dapat memfokuskan kepada agenda pembangunan dan kemajuan negara, khususnya menangangi isu-isu ekonomi yang melanda negara.