PARA pemimpin Bersatu Sabah (PPBM) tidak mahu dipersalahkan oleh rakyat asal Sabah kemudian hari, kerana menyokong pemberian Pas Sementara Sabah (PSS) kepada PATI, yang berselindung pada kad IMM13- Burung-Burung Dan Sijil Banci.
Ketua Bersatu Sabah- Datuk Hajiji Haji Noor yang juga ADUN Sulaman, dengan jelas menyanggah keputusan itu, dan meminta kerajaan mengkaji semula.
Hajiji mempunyai pengalaman, apabila kerajaan memutuskan memberikan IMM13 pada tahun 70-an kepada pelarian perang Filipina, ianya menjadi pemangkin kepada bertali arusnya kemasukan rakyat asing tidak melalui saluran rasmi, melainkan melalui pintu belakang.
Apabila didapati ramainya rakyat asing di Sabah tidak berdokumen, Kerajaan Sabah era Parti PBS telah mengambil pendekatan mengeluarkan kad burung-burung untuk mengenalpasti jumlah sebenar mereka, dan seterusnya jumlah yang direkodkan diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk tindakan lanjut. Namun, tiada tindakan susulan berlaku terhadap mereka yang diberikan kad burung-burung, sebaliknya terus dibenarkan tinggal di Sabah. Kerana kerajaan PBS tidak berpuashati kerana tiadanya tindakan terhadap mereka yang diberikan dokumen burung-burung dan juga IMM13, Kerajaan PBS menjalankan bancian, dan setiap warga asing yang tidak termasuk sebagai pemegang kad IMM13 dan Burung-Burung diberikan Sijil Bancian. Dan seterusnya jumlah rakyat asing yang mempunyai 3 dokumen itu diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk tindakan, namun tiada tindakan yang dilakukan, kecuali pada mereka yang tiada dokumen seumpama itu, dihantar pulang ke negara asal, manakala yang memegang 3 dokumen tersebut dibenarkan tinggal di Sabah sehingga kini.
Menurut jawapan semasa Sidang Dun Sabah 15-21 November lalu, mereka yang memegang 3 dokumen tersebut seramai 136,055 orang yang terbahagi kepada IMM13 (51,645); Kad Burung-Burung (36,892) dan Sijil Banci (47,518); oleh kerana mereka ini sudah beranak pinak dan bercucu cicit, maka jumlah keseluruhan dianggarkan seramai 600 ribu orang.
Cuba bayangkan, daripada jumlah 136,055 kemudian menjadi 600,000; atau pertambahan 4.4 kali ganda sejak 30 tahun lalu, cuba pula unjurkan pertambahan 30 tahun ke depan daripada 600,000 itu? Ianya boleh mencecah 2.65juta, ertinya hampir mendekati jumlah rakyat sebenar Sabah sekarang ini yang berjumlah 2.7juta. Keadaan ini lah yang dibimbangkan bakal berlaku, dan tidak mustahil berlaku, kerana bukti dan fakta sudah berbicara.
Setidak-tidak para pemimpin Bersatu Sabah telah bersuara, dan tidak mahu tersenarai sebagai pengkhianat kepada rakyat asal Sabah kemudian hari.
Kerajaan Parti Warisan mahu sangat, mereka ini diberikan dokumen, dan sasaran mereka memang bukan untuk yang 136 ribu itu, tetapi yang lebih 400 ribu, kerana kemungkin besar mereka ini termasuk dalam kategori rakyat, kerana lahir di Sabah, lahir daripada perkahwinan campuran dan sebagainya.
Penulis tidak bermaksud rasis dalam artikel ini, tetapi fakta tidak boleh ditolak, bahawa sebahagian besar mereka itu, adalah yang mempunyai bahasa Pantai Timur Sabah.
Setiap mereka yang berumur 60-an, pasti tahu bagaimana komposisi penduduk Sabah, namun selepas adanya pemberian IMM13, kad Burung-Burung dan Sijil Banci, demografi Sabah berubah sedemikian rupa, bukan kerana disebabkan oleh mereka yang diberikan dokumen tersebut, akan tetapi pertambahan rakyat entah daripada mana, sehinggakan peningkatan rakyat Sabah diluar kemampuan kelahiran manusia, yang perlu mengandung 9 bulan 10 hari.
Berasaskan pengalaman lalu, jika PSS diteruskan, peningkatan rakyat Sabah, akan mengalami kenaikkan yang luar biasa di masa depan. Kalau tidak percaya, cuba kira rakyat Sabah 10 tahun akan datang, dibandingkan dengan kadar kelahiran lumrah manusia!!!.