SELEPAS 5 hari berkempen, sangkaan awal, calon BN DR Wee Jeck Seng bakal diboikot pengundi melayu ternyata meleset. Aktiviti ceramah berkelompok atau turun padang calon tersebut dipenuhi pengundi melayu. Tanda-tanda swing juga terlihat daripada kalangan pengundi cina, aktiviti BN menjadi tumpuan mereka.
Ceramah perdana BN malam tadi dihadiri ribuan pengundi daripada kaum melayu,cina dan india.
Di lain pihak pula sambutan kempen PH lesu jika dibandingkan dengan PRU-14 lalu. Sambutan kaum cina terhadap kempen PH dikhabarkan sangat kurang, apa yang pelik, ianya berlaku di DUN Pekan Nanas yang mana ADUNnya adalah daripada DAP.
Berlegar-legar daripada mulut ke mulut, tindakan sabotaj dan boikot terhadap calon Bersatu setidak-tidaknya berimpak pada tempoh 5 hari kempen, tidak pasti apa yang berlaku dalam tempoh 8 hari lagi, sebelum masa berkempen melabuhkan tirainya pada tengah malam 15 November.
Tidak dapat dipastikan kebenaran berkaitan sabotaj dan boikot terhadap calon Bersatu, namun jika fakta lapangan dijadikan ukuran, maka memang betul, keadaan itu berlaku. Jika calon Bersatu gagal mempertahankan Parlimen Tg Piai, maka membuktikan, bahawa sabotaj dan boikot berjaya.
Pada PRK ini, jika pada 16 November, Karmaine Sardini tewas, faktor pertama adalah beliau menjadi mangsa keadaan senario politik yang berlegar-legar dalam isu peralihan kuasa Perdana Menteri. Mungkin, keadaan berubah ekoran kenyataan Tun Dr Mahathir, sebelum PRU-15, beliau mengundur diri dan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Dato Seri Anwar Ibrahim. Perubahan ini akan dilihat dalam tempoh 8 hari kempen, apabila Tun Dr Mahathir dan Anwar turun padang menyertai kempen.
Jika jangkaan SPR bahawa peratusan pengundi 70%, peluang PH mempertahankan kawasan tersebut tercabar, kerana jika dilihat kemenangan calon daripada 4 parti itu pada PRU lalu disumbangkan oleh pengundi luar. Daripada 27 PDM di Tg Piai, pada PRU lalu, 16 PDM kawasan majoriti melayu menyebelahi calon BN, hanya satu PDM kawasan melayu dimenangi PH, manakala 9 PDM kaum cina khususnya di DUN Pekan Nanas dimenangi calon PH.
Di atas kertas, daripada 53,500 pengundi, BN mempunyai pengundi tegar antara 15-16 ribu, majoritinya adalah pengundi yang bermastautin di parlimen tersebut, khususnya bagi saluran 1-3, yakni golongan pengundi berusia 40 tahun ke atas. Jika diambilkira 70% yang turun mengundi, maka jumlah pengundi yang menunaikan tanggungjawab hanya berjumlah lebih kurang 37 ribu, separuh daripadanya 18,700, ertinya mana-mana calon mendapat undi 19,000 adalah pemenang.
Di pihak BN dikhabarkan hanya memperlukan 10% undi tambahan daripada kalangan pengundi melayu (sudah tentu dicukupi oleh penyokong tegar PAS).
Isu dikalangan pengundi hampir sama dengan isu secara umum yang berkaitan kenaikkan kos sara hidup, aktiviti ekonomi yang lembab, namun isu-isu itu hanya merupakan perkara biasa setiap kali adanya PRK, apa yang pasti, pengundi akan menentukan pilihan mereka,
Menurut laporan di lapangan daripada juru-juru kempen untuk tempoh 5 hari kempen, BN masih dihadapan. Walau apapun, tempoh 8 hari, masih banyak yang boleh dilakukan oleh pihak PH, kerana menguasai kerajaan baik pusat mahupun negeri.