BAGI mengekang politik jijik dan kotor, mengancam menggunakan gambar-gambar atau rakaman video yang bersifat lucah dan kotor menjatuhkan pihak lain, kerajaan perlu mempertimbangkan memperkenalkan undang-undang anti intipan.
Inisiatif Menteri di Jabatan Perdana Menteri- Datuk Liew Vui Keong untuk mengkategorikan pencerobohan privasi sebagai kesalahan jenayah selain memperkenalkan undang-undang anti intipan, perlu disokong.
Merujuk kepada insiden penyebaran video intim didakwa membabitkan seorang menteri yang tular baru-baru ini, Liew berkata beliau sedang meneliti perkara itu sebagai pencerobohan privasi.
"Kita semua mempunyai privasi sama ada anda suka atau tidak. Kita semua mahu memastikan privasi kita dilindungi dan tidak boleh diceroboh," katanya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) JPM, di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai penerbitan dan pengedaran video intim dari perspektif undang-undang Liew berkata, beliau juga telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji penggubalan undang-undang bagi membendung amalan tidak sihat itu.
"Ini bertujuan untuk melindungi masyarakat, terutama wanita dan kanak-kanak, daripada menjadi mangsa jenayah itu," katanya.
"Ini adalah masa untuk kita mengkajinyai kerana terdapat juga kesalahan yang kita lihat kebelakangan ini, seperti antara teman wanita dan teman lelaki apabila lelaki mengambil gambar gadis itu dan menyebarkannya di media sosial untuk menggugut gadis itu.
"Ia juga boleh berlaku apabila seseorang merakamkan video beberapa aksi pasangan tertentu dan kemudian menggunakan video tersebut untuk menggugut orang berkenaan," katanya.