DI ATAS KERTAS, Kerajaan Sabah yang diterajui Parti Warisan Sabah (PWS) disokong 45 ADUN daripada 66 (termasuk 6 ADUN Lantikan), tetapi pada hakikatnya kerajaan ini, bukan daripada rakyat, kerana PWS tidak diberi mandatpun memerintah negeri.
Tahun 1986, pernah berlaku pilihan raya negeri selepas PRN tahun 1985, kerana kerajaan masa itu, berpendapat, walaupun menang 25 kerusi daripada 48 kerusi DUN, namun tiada kuasa 2/3 untuk meneruskan pemerintahan. Benar juga, pada PRN itu, PBS menang 34 daripada 48 kerusi, dan seterusnya jumlah kerusi tersebut merupakan mandat 2/3 daripada rakyat.
Datuk Shafie Apdal perlu kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat. Jika PWS dan parti sekutunya merasa disokong rakyat, maka kembali kepada rakyat menerusi pilihan raya bertujuan menyelesaikan semua keraguan sebilangan rakyat terhadap kerajaan.
PRU-14 dengan jelas, rakyat Sabah dalam dilema semasa mengundi, kerana mereka masa itu ditaburi berbagai janji, khususnya janji-janji yang berkait rapat dengan kehidupan harian.
Selepas 10 bulan, kini ramai rakyat merungut, kerana apa yang dijanjikan tidak mereka dapat, malah dikatakan keadaan semakin bercelaru dan genting.
Kerajaan yang ada perlu kembali kepada rakyat, sebagai kaedah menepis persepsi itu.
Penulis akan akur dengan keputusan rakyat menerusi pilihan raya baru. Menerusi keputusan itu, maka parti yang diberi mandat oleh rakyat perlu diberi peluang memerintah negeri tanpa gangguan, dan seterusnya perlu disokong.