ADA yang mengatakan bahawa politik Sabah dipersimpangan, antara parti tempatan dan parti nasional. Jika dilihat pada PRU-14, andaian itu tidak sepenuhnya benar.
Pada PRU lalu, meskipun Parti Warisan Sabah (PWS) menggunakan lambang sendiri, akan tetapi tidak sepenuhnya kemenangan 21 kerusi Dun dan 8 kerusi parlimen sepenuhnya kerana parti itu, sebabnya parti pimpinan Datuk Shafie Apdal itu berkolaborasi dengan parti kebangsaan seperti DAP, PKR, Amanah dan PPBM. Sama-sama kita tahu (kecuali di Parlimen Batu Sapi), PWS dan parti-parti dalam Pakatan Harapan, tidak saling betembung, mereka berdepan secara langsung dengan parti Barisan Nasional.
Jika berasaskan kepada PRU-14, tiada parti yang boleh dianggap parti tempatan, kecuali STAR pimpinan Datuk Dr Jeffery G Kitingan.
Jika dilihat kepada keputusan PRU-14, sebenarnya rakyat Sabah masih condong kepada parti-parti yang mempunyai keterkaitan dengan parti kebangsaan.
Makna kata, pengundi Sabah pada PRU-14, berada dipersimpangan, dalam memilih parti yang disokong, yakni pada masa itu, apa kah menyokong Datuk Seri Najib Razak atau kah Tun Dr Mahathir Mohammmad, manakala di Sabah antara Shafie dan Musa.
Di lihat di peringkat negeri, antara Shafie dan Musa ada lah seimbang, kerana masing-masing menang 29 kerusi, manakala di peringkat kebangsaan Tun Dr Mahathir mengatasi DS Najib, kerana parti-parti yang menyokong Pengerusi PPBM itu menang 14 kerusi parlimen, manakala yang menyokong DS Najib hanya 10.
Berasaskan fakta PRU-14, rakyat Sabah tidak boleh dianggap memilih parti lokal/tempatan, sebaliknya masih berkiblat kepada parti kebangsaan.
Di Sabah kini, ada kecenderungan parti tempatan mahu memisahkan diri daripada parti kebangsaan, kerana tiada lagi parti tempatan yang berkolaborasi dengan parti kebangsaan, walaupun PWS masih berkolaborasi, kerana membentuk kerajaan negeri secara bersama-sama. Parti pemimpin Shafie itu, bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan, akan tetapi, hanya "berkerjasama".
Akhir-akhir ini, terlihat tindakan Shafie, akan memisahkan diri dengan parti-parti kebangsaan, khususnya apabila beliau mempelawa wakil rakyat bebas dan pemimpin tidak berparti menyertai parti beliau. Beliau mahu mencontohi Kerajaan Sarawak, bahawa di peringkat negeri, memerintah sendiri tetapi mesra kerajaan Persekutuan.
Tindakan Shafie, tidak rela kemasukan PPBM, ke Sabah, kerana beliau melihat, kehadiran parti itu, akan membantutkan beliau memerintah negeri secara autonomi, kerana parti pimpinan Tun Dr Mahathir itu, akan tertumpu di kawasan pribumi, khususnya di kawasan-kawasan tradisi Umno.
Kehadiran PPBM, akan membantut usaha beliau membawa misi, Sabah for Sabahan, Sabahan for Sabah, yang mana misi itu, daripada awal-awal lagi dicipta untuk menghalau Umno daripada Sabah.
Bagi Shafie, jika PWS menjadi kuat, dan boleh membentuk kerajaan, tanpa sokongan parti kebangsaan, seperti di Sarawak, maka misi beliau akan tercapai.
Parti yang berorentasi tempatan, masih menggunakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan 20 Perkara, kerana menerusi dua faktor itu, Sabah boleh maju dan membangunan, menerusi hasil dan keupayaan sendiri, khususnya yang berkaitan dengan sumber alam seperti minyak dan gas, cukai-cukai dan levi yang dihasilkan oleh negeri.
Sejauh mana, Sabah bakal dikuasai parti tempatan, sangat bergantung kepada pemimpin Sabah sendiri, menentukan hala tuju. Jika masih ada pemimpin negeri ini, masih berorentasi kepada parti kebangsaan, maka tiada akan terwujud seperti mana di Sarawak!!!.
Shafie melihat, selagi parti beliau tidak kuat, dan masih bergantung sokongan parti kebangsaan, maka hasrat beliau menentukan hala tuju negeri sesuai dengan MA63, tidak akan tercapai. Mungkin, atas sebab itu, beliau beria-ia sangat mempelawa, para pemimpin tidak berparti dan para wakil rakyat bebas.
Berjaya kah Shafie? Menurut penulis, jika semua pihak membuang yng keruh mengambil yang jernih, khususnya yang melibatkan para mantan pemimpin Umno, misi beliau akan tercapai. Selain itu, Shafie juga, perlu menghormati mereka itu sebagai kawan-kawan sepasukan untuk misi dan hala tuju, demi rakyat dan negeri Sabah. Dalam politik, kisah-kisah pahit yang lalu-lalu perlu dijadikan sempadan demi hala tuju yang hakiki. Fikir-Fikrkan.