Sebenarnya, pemimpin melayu/bumiputera berhadapan dengan dilema bermula seawal tahun 2008, apabila akar umbi yang menyokong mereka mula hilang keyakinan dan kepercayaan.
Pada PRU tahun 2008, julung kali, parti Bn kehilangan kuasa 2/3 di Dewan Rakyat, keadaan ini bertambah buruk pada PRU berikutnya, dan selanjutnya kehilangan kuasa pada PRU-14, iaitu tahun lepas.
Keyakinan kaum melayu/bumiputera terhadap parti yang mewakili mereka, merundum, dan keadaan itu ditunjukkan menerusi PRU lalu.
Menerusi PRU lalu, tiada parti yang mewakili melayu/bumiputera benar-benar wakili golongan itu dalam kerajaan yang sedang memerintah, walaupun Umno yang menjadi parti pembangkang sesuai dengan keputusan PRU-14, masih merupakan parti terbesar daripada segi jumlah kerusi, iaitu 54. Umno kehilangan 34 kerusi pada PRU itu, berbanding PRU tahun 2013, yang mana parti itu menang 88 kerusi parlimen, bertambah 9 kerusi berbanding PRU tahun 2008.
Kerana berkurangnya keyakinan kumpulan terbesar rakyat negara ini terhadap parti yang mewakili mereka, maka pada AGM PPBM yang berakhir pada 30 Disember, 2018, membangkitkan, bahawa parti itu adalah parti melayu/bumiputera dan akan terus membela kumpulan terbesar rakyat negara ini. Malah Tun Dr Mahathir sanggup digelar racist oleh mana-mana pihak, kerana membangkitkan keutamaan kepada melayu/bumiputera.
Di lain pihak Umno dan Pas, turut juga membangkitkan agenda melayu/bumiputera, kerana berasaskan kesedaran, bahawa kaum terbesar telah hilang keyakinan dan kepercayaan pada pemimpin atau parti yang mewakili mereka.
Jika demikian lah keadaannya, kekuatan kaum melayu/bumiputera tidak akan ke mana-mana, kerana tetap sahaja terbahagi-bahagi. Kalau lah diikutkan, kerusi kaum melayu/bumiputera cukup banyak, jika digabungkan, kerusi yang pada UMNO, PAS, PPBM, Amanah, PKR, PBB dan parti-parti bumiputera Sabah dan Sarawak, namun kerana perbezaan ideologi dan fahaman politik, maka berpecah, sehinggakan mencerminkan kelemahan.
Kalau lah semua pemimpin melayu/bumiputera ikut falsafah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat, maka melayu/bumiputera akan sentiasa terbela di tanah airnya sendiri sampai bila-bila.
Apa yang berlaku sekarang, adalah gajah sama gajah bertarung, pelandok mati di tengah-tengah, ini lah sebenarnya menjadi punca, mengapa kaum melayu/bumiputera hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap pemimpin dan parti yang berpaksi kepada mereka.
Apa yang penulis tulis ini, sebenarnya didokong oleh temuan survei yang dijalankan oleh berberapa agensi yang pakar menelaah kecederungan rakyat negara ini sejak awal tahun lalu, misalnya temuan Jabatan Komunikasi Universiti Islam Antarabangsa yang diketuai oleh Prof Datuk Syed Arabi Abdullah yang menemui penurunan keyakinan itu, untuk parti politik menurun daripada 65% kepada 58%, manakala pemimpin pula menurun daripada 63% kepada 57%.
Kencenderungan yang terdapat pada kaum melayu/bumiputera sebenarnya dilema kepada para pemimpin melayu/bumiputera di negara ini. Hanya menerusi falsafah BULAT AIR KERANA PEMBETUNG, BULAT MANUSIA KERANA MUAFAKAT, akan menjadi penyelamat kepada kaum melayu/bumiputera. Fikir-Fikirkan.