Perjuangan Umno yang penuh dengan warna warni sejak ditubuhkan tahun 1946, menjadi tunggak utama kemerdekaan dan seterusnya menerajui kerajaan selama 61 tahun, akhirnya pada PRU-14 menyerahkan kuasa pada "klonnya" pada PRU-14.
Adalah bohong, bagi sesetengah pemimpin yang meninggalkan parti tidak sedih, kerana lebih setengah kehidupan mereka bersama-sama parti itu, namun perjuangan kena diteruskan sesuai dengan alaf baharu politik.
Sifat politik itu sendiri tidak kaku, politik itu perlu bergerak, perlu fleksibel sesuai dengan perkembangan zaman.
Tiada seorang pun yang menyangka bahawa Umno kehilangan kuasa pada PRU-14. Parti lawanpun mengakuinya, sebab itulah mereka menaburkan janji-janji bulan bintang yang sukar ditunaikan, tujuannya hanya gimik untuk mempengaruhi pengundi.
Para ahli Umno kena menerima hakikat, jangan termasuk dalam kategori meneggakkan benang basah, kerana fakta yang mewakili aspirasi rakyat adalah pilihan raya. Tiada mekanisme lain, melihat sokongan rakyat pada sesebuah parti atau perjuangan, ianya hanya dapat dibuktikan menerusi pilihan raya.
Sabah yang diberikan jolokan FIXED DEPOSIT BN, tidak terkecuali daripada rempuhan perubahan pada PRU-14, dan turut sama kehilangan kuasa.
Memang, dikalangan ahli Umno khususnya yang muda-muda, Umno adalah parti politik pertama mereka, kerana parti itu telah bertapak hampir 28 tahun di Sabah, sebab itulah mengucapkan selamat tinggal bukan perkara mudah.
Pernah berlaku pada Usno semasa dibubarkan pada tahun 1990, kerana tindakan penghijrahan ke parti Umno, masa itu bukan sahaja ramai yang sedih malah menanggis meraung, namun akhirnya penghijrahan itu diterima, impaknya kepada negeri dan rakyatnya cukup signifikan daripada segi pembangunan dan kemajuan.
Politik bersifat massa, politik perlu sokongan rakyat majoriti, politik tidak boleh bersandar pada kata peribahasa menang sabung kampung tergadai, politik tidak boleh bersandar pada meneggakkan benang basah, politik perlu bersandar pada fakta nyata, perlu bersandar pada arus politik perdana, politik perlu bersandar pada mengukur baju di badan sendiri.
Para pemimpin yang keluar daripada Umno semata-mata untuk penghijrahan ke arah lebih baik, sesuai dengan era politik baharu dalam negara.