Di Negara ini, politik Sabah lah yang paling pragmatik. Sebabnya, jumlah parti politik yang begitu banyak sekali beroperasi di negeri ini, termasuklah parti-parti daripada luar.
Mengingat kepada keadaan ini, rakyat Sabah terbahagi-bahagi, ada yang cenderung kepada parti tempatan, demikian juga terhadap parti luar.
Kita lihat keputusan PRU-14, daripada segi DUN, kawasan-kawasan yang dimenangi parti tempatan, PWS-21, STAR-2, manakala parti luar (BN dikategori parti luar kerana ditunjangi Umno)-29, DAP-6 dan PKR-2. Kedudukan demikian menghasilkan nisbah 23:37; ertinya kencenderungan pengundi Sabah masih berkiblat pada parti luar.
Jika fakta di atas dihubungkan dengan kehendak sesetengah pihak, kononnya, parti tempatan bakal disokong sepenuhnya oleh pengundi Sabah, maka dengan itu, mereka mencadangkan, agar para pemimpin Umno yang keluar beramai-ramai pada Rabu menyertai parti tempatan, tidak selari dengan kecenderungan majoriti rakyat Sabah. Makna kata, pada PRU-15, kebarangkalian sokongan pengundi akan mengikuti petan yang sama.
Memang benar mengikut sejarah politik Sabah, parti tempatan pernah menang dalam pilihan raya, namun pada masa itu, belum adanya parti luar sebagai pesaing utama. Sejak adanya parti utama daripada luar, maka kecenderungan pengundi Sabah lebih memilih parti yang daripada luar, termasuk parti tempatan yang mempunyai kerjasama dengan parti luar.
Pengundi Sabah lebih condong kepada parti yang dapat membentuk Kerajaan Persekutuan. Keadaan ini dapat dilihat pada keputusan PRU-14. PWS dan parti sekutunya mendapat undi daripada rakyat Sabah kerana mereka percaya Pakatan Harapan bakal membentuk Kerajaan Persekutuan, manakala pengundi yang memilih Bn, kerana masih yakin Bn dapat mempertahankan Putrajaya.
Melihat kepada senario keputusan PRU-14 dan pasca pilihan raya, nampaknya rakyat Sabah pada PRU akan datang, majoritinya akan memilih parti yang menguasai Putrajaya. Atas asas itulah, para pemimpin Umno yang keluar beramai-ramai pada 12/12/2018 mengambil kira kecenderungan itu.
Mereka yang keluar itu, tidak boleh dikategorikan sebagai lompat, kerana tindakan mereka tidak menyebabkan sesebuah kerajaan jatuh. Tindakan mereka itu adalah tindakan hijrah, ke arah yang lebih baik demi rakyat dan negeri.
Para pemimpin Umno yang keluar beramai-ramai, tidak menyalahkan Umno sebagai parti, tetapi lebih melihat hala tuju parti itu yang tidak dapat lagi memenuhi cita rasa para ahlinya yang terdiri daripada berbagai kaum dan agama.