SETIDAK-TIDAKNYA, rakyat mahu melihat, pada PRN Melaka ke-15 ini, bahawa calon-calon yang terpilih pada 20 November, adalah mereka yang benar-benar berintegriti dan bebas isu, tanpa melihat latar belakang parti yang diwakili.
Jika keadaan demikian berlaku, maka benar lah, PRN Melaka, merupakan pilihan raya yang menjadi “game changer” pada politik tanah air.
Rakyat mahu melihat, bahawa mereka yang terpilih bukan bersandar pada nama besar yang melekat pada calon, akan tetapi, tahap integriti dan bebas isu yang menjadi ukuran.
Hanya pengundi negeri Melaka, tahu mengadili setiap calon, kerana kebanyakkan calon, merupakan calon-calon tempatan.
Ada lah menguntungkan rakyat, jika calon-calon yang terpilih tidak dibebani dengan soal-soal integriti dan isu-isu tertentu, kerana asas sedemikian boleh menjadi pemudah cara mereka berkhidmat kepada rakyat.
Jika di mata rakyat, bahawa calon-calon sedemikian, wajar disokong, maka sokong lah, tanpa melihat parti yang diwakili, kerana menolak mereka itu merupakan satu kerugian.
Jangan menghukum calon-calon kategori sedemikian, hanya kerana mewakili parti yang mempunyai pemimpin yang terkait integriti atau isu moral.
Jangan menghukum calon-calon yang berkebolehan, hanya kerana bersandar pada anggapan, seekor kerbau membawa lumpur semua terpalit.
Demikian juga, jika ada calon-calon yang diragui berkaitan integriti dan terpalit dengan skandal tertentu, sebesar mana pun nama atau setinggi mana pun kedudukan mereka itu, maka tolak lah, kerana jika terus diberi peluang dan ruang, maka menjadi punca barah.
Mungkin kerana pendekatan ini, maka semua parti-parti besar, mengemukakan calon-calon baharu sama ada yang berumur atau masih remaja, kecuali DAP yang mempertahankan 75 peratus daripada ADUN parti itu yang menang pada PRU-14.
Jika pengundi Melaka, menjadikan ukuran, bahawa semua calon yang terpilih berintegriti dan bebas isu, maka tidak mustahil, keputusan PRN ke-15 negeri itu akan menghasilkan DUN tergantung, ertinya, tiada pihak yang mempunyai cukup majoriti untuk menubuhkan kerajaan. Jika ini lah yang berlaku, maka membuka ruang penjajaran politik yang mengumpulkan semua wakil rakyat yang berintegriti. Keadaan ini, memang tidak memenuhi ruang lingkup, politik stabil, akan tetapi membuka ruang pada kerajaan yang berintegriti dan bebas isu. Keadaan sedemikian, jauh lebih baik, berbanding kerajaan yang stabil, tetapi dipenuhi wakil rakyat yang kurang integriti, apa tah lagi sesetengah daripadanya terpalit isu moral atau skandal.
Sama-sama kita nantikan PRODUK PRN ke-15 Negeri Melaka pada 20 Novemver ini.