DALAM keadaan pandemik covid-19 masih mengancam, mengadakan PRU-15 dalam masa terdekat, bukan sahaja tidak sesuai, malah akan mengundang malapetaka besar kepada pengundi.
Jika imuniti kelompok sudah terwujud yang ditandai 80 peratus rakyat telah menerima vaksin, maka boleh menghalang pengundi dijangkiti virus pembunuh tersebut, jika PRU-15 diadakan.
Mereka yang ingin sangat diadakan PRU-15, malah mendesak perlu diadakan selepas proklamasi darurat yang tamat pada 1 Ogos, 2021, perlu mengambil iktibar impak PRN-16 Sabah yang mana sehingga kini menjadi punca penularan yang mendorong kerajaan memohon pengistiharan darurat.
Memang benar, semasa darurat diumumkan pada awal Januari, 2021, kerajaan memperkirakan menjelang Mei, 2021, jumlah jangkitan akan melandai, malah angka jangkitan 2 digit dijangka akan tercapai. Namun, semua itu tidak menjadi kenyataan, malah kadar jangkitan meruncingkan, sehinggakan perlu dilaksanakan PKP di beberapa buah negeri yang terjejas teruk.
Kadar jangkitan 4 digit, dikatakan oleh pemimpin politik yang membangkang kerajaan sebagai sandiwara untuk kekal berkuasa, sebenarnya, hanya kenyataan politik yang tidak mahu mengambilkira ancaman virus tersebut.
Virus adalah musuh yang tidak nampak. Ertinya, tiada istilah yang boleh digunapakai, untuk menggambarkan ancaman virus terus boleh dicatur oleh mana-mana pihak untuk maksud tertentu.
Dalam keadaan ancaman virus masih belum dijinakkan, semua pihak khususnya para pemimpin politik, perlu berganding bahu membantu bagaimana rakyat terelak daripada jangkitan.
Dalam keadaan sekarang, jangan fikir dulu, soal PRU-15, utamakan dahulu rakyat. Belajar lah daripada PRN-16 Sabah.